Saturday, October 2, 2010

Surah At-Taubah : Ayat 46

Assalamua'laikum w.b.t

Surah At-Taubah: Ayat 46 yang bermaksud

Dan jika (orang orang munafik) mahu berangkat, nescaya mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Dia melemahkan keinginan mereka, dan dikatakan (kepada mereka), "Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu".
Imah menyerahkan segala penafsiran yg benar kepada alim ulama sahaja untuk ditafsirkan ayat ini..cuma teringat ayat ini pernah digunakan oleh seorang ustaz untuk memperingatkan kami.

Jika kita merasa berat untuk ke program program agama, atau ke majlis majlis ilmu sebaliknya lebih senang untuk berehat rehat di rumah tapi cukup bingkas menyahut ajakan ke tempat tempat yg melalaikan dan menjauhkan dari Tuhan, tanyalah pada diri...benarkah kita yang tak mahu pergi atau Allah s.w.t yang tak mahu kita pergi? Dan akhirnya jadilah kita sebahagian 'mereka yang tinggal'.

Tidak bermaksud untuk berkata hal ini kepada sesiapa, cuma inilah ayat yang mengetuk ngetuk hati Imah, ayat yang mengikis bisikan syaitan di dalam diri...yang membuatkan Imah bingkas menyahut seruan ke arah majlis majlis di mana malaikat melebarkan sayapnya.

Maha Suci Allah, sama sekali Dia tidak memerlukan sesiapa di antara manusia yang lemah dan lalai ini menyembahnya. Namun kerana rahmat dan kasihNya, tidaklah Dia mahu menzalimi makhlukNya dengan membiarkan mereka (baca : kita) terus berjalan atas muka bumi tanpa arah tujuan dan ilmu tentang alam akhirat yang sebenarnya. Dan di atas ketidaktahuan itu menjadikan kita hambaNya yang terus lalai dan melakukan dosa, maka layaklah kita merasa bahangnya neraka itu. Maka diutus para rasul dan diturunkan kitab kitabNya yang lain selain AlQuran. Setelah wafatnya Rasulullah (s.a.w) yang mulia, ada para sahabat,tabi'at dan tabi'in menyambung kerja dakwah menyampaikan hakikat akidah, menyeru yang baik dan mencegah yang mungkar. Cukup ikhlas mereka bekerja. Dan disambung oleh para pendakwah samada yang bergelar ustaz, doktor,jururawat, jurutera, ahli farmasi, guru, doktor pergigian, jurujual, tuan guru atau pelajar seperti yang kita lihat pada generasi ini.

Malangnya bila sampai kepada kita..apa yang dijawab?

Ada yang menyahut
Ada yang menolak
Ada yang segera jatuh cinta
Ada yang memerlukan masa untuk merasai kemanisannya
Ada yang meminta masa memikirkannya

Sesungguhnya Allah adalah pemilik hati hati ini. Jika Dia berkenan, akan mudah bagi kita menerimanya. Jika tidak, sampai bila bila pun kita hanya akan bermain main dalam pegangan kita yang tak seteguh mana. Tanpa ada hasil, tanpa ada kerja/perbuatan yang menzahirkan pegangan kita sejelasnya. Perlu diingatkan, kita tidak tahu Allah berkenan atau tidak..maka jika kita rasa ....jauh dari Allah, cepat cepatlah dekatkan diri kepadaNya dengan menghadiri majlis majlis ilmu yang menambah pengetahuan tentangNya. Maklumlah, tak kenal maka tak cinta.

Dan tidaklah penulis ini bersih dari dosa, dosa yang telah dilakukan ada ditutupi Allah supaya mudah untuk bertaubat. Astaghfirullah.


Kali ini coretan ini bernada sayu. Dengan penggunaan perkataan yang formal (skema), menambahkan basah perasaan yang ada. Mungkin tidak menarik hati hati mereka yang sekadar membaca untuk ......sekadar membaca.Maaflah, Imah tidak cool. Imah boleh cuba untuk jadi 'cool' tapi hakikatnya jika Allah tak redha..

Akhir kata, tak kenal maka tak cinta. Kenalilah Allah (swt) dan RasulNya (saw) untuk mencintai keduanya.

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment